Wednesday, February 16, 2011

Sukan : Harapan Chelsea makin samar

Chelsea akhirnya kibar bendera putih

 

LONDON - Pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti mengaku kalah dalam saingan merebut gelaran Liga Perdana Inggeris selepas menyaksikan skuad bimbingannya sekadar seri tanpa jaringan menentang Fulham di Craven Cottage, kelmarin.
Penjaga gol Chelsea, Petr Cech menyelamatkan sepakan penalti Clint Dempsey pada minit-minit terakhir sebelum wisel penamat dibunyikan, sekali gus menafikan Fulham daripada melakar kemenangan dramatik di gelanggang sendiri.

Namun, keputusan seri itu bermakna Chelsea kini 12 mata
ketinggalan di belakang pendahulu liga, Manchester United.
Dengan berbaki hanya 12 perlawanan, peluang skuad The Blues untuk mempertahankan kejuaraan musim lalu kian samar.

Ancelotti mengakui, harapan pasukannya untuk menjulang piala telah beralih kepada Piala FA dan Liga Juara-Juara Eropah.
''Sekarang (12 mata ketinggalan) adalah terlalu jauh. Sasaran kami ialah bermain dalam setiap perlawanan selepas ini, berbekalkan semangat dan sikap seperti yang ditunjukkan malam ini.
"Sudah jelas adalah begitu sukar untuk kami mahu bangkit dan bersaing merebut gelaran liga, tapi kami mempunyai sasaran penting untuk layak ke akhir Piala FA.
"Kami juga ingin menempatkan diri dalam kedudukan empat teratas secepat mungkin, dan bersiap sedia menghadapi Liga Juara-Juara minggu depan.
"Paling penting ialah kedudukan empat pasukan terbaik. Saya fikir kita mampu mencapainya sekiranya bermain sebagus malam ini.

"Saya seorang yang optimis dan memang ada sebab untuk saya masih berasa yakin. Cara bermain bola sepak yang kami tunjukkan malam ini adalah bagus, dan ia perlu diteruskan," jelas Ancelotti.
Penyerang Chelsea, Fernando Torres sekali lagi gagal beraksi seperti yang diharapkan biarpun diberi peluang untuk membuktikan kebolehannya.
Dia diturunkan dalam kesebelasan utama Chelsea, dengan penyerang utama Didier Drogba ditinggalkan di bangku simpanan.
Namun, Ancelotti tetap yakin penyerang yang dibeli dengan harga RM246.4 juta (50 juta pound) itu adalah pembelian berbaloi.

Malah, dia juga mempertahankan keputusannya untuk menurunkan Torres bermain keseorangan di hadapan, dengan mendakwa Drogba perlu berehat, meskipun pada minggu lalu menegaskan tidak ada masalah untuk menggandingkan kedua-dua pemain itu dalam kesebelasan utama.
Ancelotti menambah: "Fernando bermain dengan bagus. Dia menggunakan kebolehannya untuk bergerak. Dia memiliki beberapa peluang pada separuh masa pertama dan saya mengeluarkannya untuk digantikan dengan Didier yang segar dan bertenaga.

"Itulah satu-satunya sebab saya tukarkannya. Persembahan dia adalah lebih baik daripada ketika beraksi menentang Liverpool. Pertukaran ini sesuatu biasa. Kami masih perlu mengharungi banyak perlawanan dan saya perlu pastikan pemain-pemain kekal cergas."
Seorang lagi pemain baru, David Luiz, yang diberikan kepercayaan untuk bermain, merupakan pemain yang bertanggungjawab menghadiahkan sepakan penalti kepada lawan apabila dia mengasari Clint Dempsey dalam kawasan penalti.

Pengurus Fulham, Mark Hughes, pastinya kecewa dengan keputusan berakhir seri, sedangkan pasukannya nyaris mengejutkan Chelsea pada minit-minit akhir perlawanan.
Ini kerana dia berang dengan kegagalan pengadil, Mike Dean membenarkan sepakan penalti diambil semula, selepas Drogba didakwanya menceroboh masuk kotak penalti sewaktu Dempsey melakukan sepakannya.
"Mengambil kira insiden pada akhir perlawanan, ia sememangnya mengecewakan. Kami berikan tentangan sengit kepada Chelsea yang lebih kuat sebelum pada babak kedua kita kental bertahan asakan demi asakan mereka.

"Kita bangkit pada lewat permainan dan menunjukkan karakter sebenar kami dengan mengasak dan cuba mencipta peluang.
"Penalti tersebut sepatutnya diambil semula kerana Drogba menceroboh kotak penalti. Saya pasti Mike Dean jelas melihatnya. Dia betul-betul berada di sebelah Clint ketika menyepak," ujar Hughes. - AFP


sumber dari Utusan Malaysia..

1 comment:

Anisah Zahorin said...

haha-tak minat chelsea sangat...

tak suka manchester jugak...

arsenal dgn liverpool..^^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...