Thursday, February 17, 2011

DADAH melalui Facebook

Agak mengejutkan aku pagi ni bila mana laman sosial Facebook boleh menjadi satu ancaman kepada kita semua. Facebook yang menjadi kegilaan teman2 masa kini tidak kira yang muda mahupun yang tua, pasti mempunyai akaun.

Ni berita yang aku tengok kat Utusan hari ni. Salah guna laman sosial....Waspadalah kita semua!!!!

Pikat wanita jadi keldai dadah melalui Facebook

KUALA LUMPUR 16 Feb. - Populariti laman sosial Facebook di negara ini, kini dikesan dijadikan platform oleh sindiket dadah antarabangsa untuk mencari gadis-gadis tempatan bagi direkrut sebagai keldai dadah ke luar negara.
Melalui laman sosial itu, sindiket menggunakan ahli-ahli di kalangan lelaki tempatan yang akan mencari kenalan wanita dan memikat mereka sehingga jatuh cinta.
Wanita tempatan terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk pelajar, golongan profesional dan ada juga di kalangan janda.

Mereka akan dilayan dengan baik sepanjang tempoh bercinta malah dihadiah barang-barang mewah serta dibawa melancong ke luar negara.
Setelah yakin, anggota sindiket akan mengambil kesempatan itu memperdayakan mangsa untuk membawa dadah ke luar negara sehingga akhirnya tertangkap dan meringkuk dalam penjara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, Facebook adalah taktik terbaru dikenal pasti digunakan oleh sindiket dadah antarabangsa untuk merekrut rakyat negara ini bagi dijadikan keldai dadah.
"Sebelum ini, sindiket dadah antarabangsa dari Nigeria dan Iran ini menggunakan rakyat mereka untuk memikat wanita tempatan untuk dijadikan keldai dadah.
"Apabila rakyat Malaysia tidak lagi terpedaya dengan taktik itu, sindiket beralih menggunakan pendekatan baru iaitu melantik ahli-ahli sindiket di kalangan pemuda tempatan untuk mencari mangsa wanita sebagai keldai dadah melalui Facebook," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Menurut Noor Rashid, taktik menggunakan lelaki tempatan untuk memperdayakan wanita melalui Facebook dikesan setelah polis menerima banyak laporan mengenai tangkapan rakyat Malaysia di luar negara pada setiap tahun.

Beliau berkata, sejak 2007 hingga tahun lalu, seramai 239 rakyat Malaysia ditangkap kerana kesalahan membawa dadah ke luar negara.
Daripada jumlah itu, katanya, 120 orang merupakan lelaki, manakala 119 orang adalah wanita yang berusia di bawah 40 tahun.

"Jumlah tangkapan rakyat Malaysia menyeludup dadah ke luar negara bagaimanapun menurun setiap tahun iaitu 35 orang tahun lalu berbanding 54 orang (2009), 66 orang (2008) dan 84 orang (2007).
"Kebanyakan rakyat kita ditahan semasa menyeludup dadah ke Taiwan, Peru, Brazil, Thailand dan Argentina," katanya sambil memberitahu tiada tangkapan rakyat Malaysia di luar negara dilaporkan setakat tahun ini.

Dalam pada itu, Noor Rashid berkata, sepanjang Januari lalu, JSJN telah menangkap seramai 14,652 orang yang terlibat dalam pelbagai kesalahan berkaitan dadah di seluruh negara.
Bagi tempoh yang sama, katanya, JSJN berjaya membongkar empat makmal memproses dadah iaitu dua di Kuala Lumpur dan masing-masing sebuah di Pulau Pinang dan Perak.
Tambahnya, penguatkuasaan di lapangan terbang antarabangsa pula menangkap 19 orang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan lima orang di Terminal Tambang Murah (LCCT) di Sepang dekat sini.

"Daripada 24 orang ditahan di lapangan terbang tersebut, 17 orang adalah warga Iran, empat Nigeria dan masing-masing seorang dari India, Jerman dan rakyat tempatan.
"Sepanjang Januari lalu, kita telah merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM38.77 juta iaitu tertinggi dicatatkan berbanding RM5.89 juta rampasan dalam tempoh sama pada 2010 dan RM8.7 juta pada 2009," katanya.

Noor Rashid berkata, seramai 103 orang telah diambil tindakan pencegahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 bagi Januari lalu berbanding 142 orang pada tempoh sama pada 2010 dan 121 pada 2009.

Beliau berkata, JSJN juga menjalankan penyitaan harta di bawa Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 berjumlah kira-kira RM3 juta dalam tempoh tersebut.
Katanya, kes yang menyumbang nilai sitaan tertinggi adalah Ops Ramelia yang melibatkan sindiket pengedaran dadah warga Iran dengan jumlah sitaan dianggarkan RM3.29 juta.




sumber berita dari Utusan

3 comments:

Anonymous said...

bahaya btol... gua nak promote cekodok guna kaedah yang sama.. heehe

AziE said...

better sentiasa beringat

Unknown said...

skrg ni . . sgt bhy . . hummm..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...