Thursday, February 23, 2012

Nota Hati Seorang Perempuan Bertudung Labuh

Saya sedang mahu menyambung artikel tentang kebanggan menjadi muslim, sebelum pendangan mata saya jatuh pada satu perenggan panjang, menceritakan tentang wanita daripada sebuah kitab sirah setebal 745 muka surat yang sudah hampir setahun saya miliki tetapi baru separuh dapat saya telaah dan rujuki. Ya. Saya kesal atas segala kelemahan diri ini.

Cuma, lebih 2 minggu yang lepas seseorang bertanya kepada saya.



Saya tidak menjawab kerana bagi saya, orang yang tidak berupaya mengemukakan rujukan, dalil dan hujjah, maka saat itu dia tidak boleh berkata kepada orang lain, "Aku tahu". Cuma, jika untuk amalan sendiri, bolehlah.

Islam bukan agama yang 'kot' atau 'mungkin'. Faham kan maksud saya?

Jika kita menyoroti kembali nilai wanita di zaman jahiliyyah, dan bandingkan ia dengan wanita di zaman tegaknya islam, pasti kita akan melihat satu jurang perbezaan yang sangat ketara. Dahulu, wanita sangat dihinakan. Mereka hanya dijadikan bahan dan alat pemuas nafsu serakah. Tidak jauh berbeza, layanan yang sama diberikan di negara-negara eropah dahulu.

Cuma sesudah cahaya islam mulai terbit, darjat dan maruah wanita diangkat. Golongan wanita dimuliakan, bahkan diberikan layanan dan kebaikan yang lebih atas sebab
mereka kaum yang lemah. Tiada lagi caci-maki, penghinaan, penganiayaan, dan kezaliman dibenarkan keatas mereka.

Dalam sebuah peristiwa di Madinah, selepas umat islam mendapat kemenangan dalam perang Badar, kaum Yahudi dan kaum munafik menggetap bibir tanda geram dan marah. Mereka mulai menampakkan kebencian dan tentangan kepada umat islam di Madinah.

Antara yang kuat menentang ialah kaum Yahudi daripada Bani Qainuqa'. Mereka telah melakukan onar dengan memaksa wanita muslimah untuk membuka penutup muka atau hijab mereka ketika wanita itu datang ke pasar untuk menyepuhkan pakaiannya.

Peristiwa ini menunjukkan bahawa hijab yang disyariatkan oleh islam kepada kaum wanita juga termasuk dengan menutup muka. Jika tidak, mengapa kaum wanita di zaman itu memakai penutup muka? Jika tidak, mengapa kaum Yahudi memaksa wanita muslimah itu membuka hijab mukanya? Sedangkan tujuan mereka hanya satu iaitu untuk menodai perasaan keagamaan yang jelas ternampak pada segi pakaian wanita muslimah.

Ini diperkuatkan dengan beberapa hadis Shahih.

Antaranya, Imam Bukhari meriwayatkan daripada Aisyah r.anha dalam bab 'pakain bagi orang yang dalam ihram'. "Janganlah dia (orang perempuan yang berihram) menutup muka dengan hijab (kain penutup muka) dan memakai pakain yang dicelup dengan waras (penwangi)"

Imam Malik dalam kitab al-mua'ttha' juga menyelitkan hadis yang diceritakan oleh Ibnu Umar, "Tidak harus bagi wanita yang sedang ihram memakai hijab muka, dan juga memakai sarung tangan".

Apakah maksud larangan ini? Mengapa wanita, bukannya lelaki?

Ini adalah kerana penutup muka (hijab) ialah suatu yang biasa dipakai oleh wanita di luar musim haji. Lelaki tidak memakainya, kerana itu hadis ini eksklusif untuk akhowat.

Ada satu lagi hadis. Ia berkenaan dengan seorang sahabat wanita bernama Fatimah binti Qais yang telah diceraikan oleh suaminya. Pada awalnya, Fatimah Binti Qais menunggu masa iddah di rumah Ummu Syarik. Tetapi, selepas diketahui bahawa ramai sahabat Rasulallah s.a.w yang menghuni rumah itu, Rasulallah lalu memerintahkan Fatimah Binti Qais menunggu masa iddahnya di rumah sepupunya iaitu Ibnu Ummi Maktum. Ummi Maktum ialah seorang yang buta, dan tidak dapat melihat. Di sana, Fatimah Bin Qais bebas melepaskan kerudungnya.

Semua ini adalah dalil-dalil yang mewajibkan wanita muslimah agar menutup muka dan seluruh anggota tubuhnya daripada pandangan lelaki asing.

Cuma, di sana letak pula tugas kaum lelaki iaitu untuk menjaga pandangan mereka. Ini telahpun saya huraikan dalam cerpen Kasih Buat Nisa'.

Beberapa pengecualian dan rukhsah juga dinyatakan. Antaranya, dalam urusan belajar, memberi kesaksian, merawat penyakit, darurat dan lain-lain. Maaf, untuk di Facebook dan di Blog, rasanya tidak disenaraikan.

Cuma, di sana ada pendapat yang berbeza daripada imam-imam mazhab. Mereka berpendapat bahawa muka dan tapak tangan itu bukannya aurat. Bahkan, para ulama mazhab juga menafsirkan bahawa hadis-hadis di atas tadi bermaksud sebagai menggalakkan atau anjuran agar berniqab (menutup wajah) tetapi bukannya wajib. Walaubagaimanapun, mereka semuanya sepakat bahawa lelaki asing yang bukan muhrim, sekali pun tidak dibenarkan untuk melihat walau satu anggota pun daripada tubuh wanita dengan syahwat. Manakala bagi wanita itu pula, dia wajib menutup mukanya sekiranya sekelilingnya, semua lelaki memandangnya dengan rasa syahwat.

Ya! Di sana letak kata kuncinya.

Pembaca budiman, anda berhak dan layak untuk membuat pilihan. Anda berhak memilih untuk meletakkan gambar di Facebook atau blog anda ataupun tidak. Cuma, pastikah anda bahawa gambar anda tidak ditenung oleh si mata keranjang? Yakinkah anda bahawa tiada syahwat yang mengelojak menatap gambar anda?

Seperkara lagi, dan yang akhirnya juga, saya menyeru kepada akhowat yang sedia masuk dalam dunia D&T untuk mulai tekan butang 'delete'. Ini adalah kerana salah satu daripada jidiyyah dalam tarbiyyah ialah dengan kita memilih untuk tidak mengambil rukhsah. Bahkan, jika orang yang ditarbiyyah pun memilih 'yang mudah-mudah', maka saya yakin bahawa orang ramai yang masih jauh dari tarbiyyah, pastinya akan memilih 'yang suka-hati'.


Muslimah yang sebenar tidak akan redha dirinya dipuji dan dipuja lelaki ajnabi yang punya penyakit dalam hatinya kerana kebanggaan dan keseronokan itu disimpannya dalam-dalam, hingga saat dahinya dikuncup lembut suami tercinta yang mengambilnya dengan nama Allah, buat kali pertama.


sumber dari iqbalsyarie

2 comments:

misyamissyou said...

facebook kan ade privacy setting..kalau untuk family sahaja, boleh disetkan..

kadang2 ade yg menyulitkan dan merumitkan sesuatu hal..islam tu tidak lah rumit dan susah

Ct Kamila said...

yes..agree with misyamissyou..


just settingkan bagi family sahaja yg boleh tgk :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...